Ahad, 3 Februari 2013

Wajah politik hipokrit PAS


CUBA imbas dan difikirkan senario-senario berikut;


Senario pertama: Apabila tercetus Amanat Haji Hadi yang ternyata membawa perpecahan kepada umat Islam, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta diberi peluang untuk muncul di televisyen selama sejam untuk membuat penjelasan. Permintaan beliau disokong oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menganggap tidak adil jika Abdul Hadi dipersalahkan tanpa diberi peluang berbuat demikian.



Senario kedua: Abdul Hadi menandatangani kesepakatan bersama-sama kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP bersetuju kalimah Allah digunakan oleh bukan Islam. Tindakan Abdul Hadi itu tidak dirujuk lebih dahulu kepada Majlis Syura Ulama yang kemudiannya membuat keputusan menolak persetujuan berkenaan.

Senario ketiga: Datuk Dr.Hasan Ali telah dipecat daripada Pas tanpa sebab sehingga menyebabkan beliau kehilangan jawatan Pesuruhjaya Pas Selangor dan kedudukan dalam pentadbiran kerajaan negeri. Sebelum itu Dr.Hasan dilihat tegas mahu melaksanakan peraturan berkaitan penjualan arak kepada orang Islam dan menasihatkan orang ramai supaya tidak menghadiri perhimpunan bagi menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

Senario keempat: Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa dipecat daripada Majlis Syura Pas atas alasan tidak menghadiri mesyuarat. Sebelum ini Nasharudin dilihat pemimpin Pas paling lantang mempertahankan prinsip perjuangan asal Pas terutamanya dalam pelaksanaan hukum hudud dan negara Islam. Beliau juga berani menegur anak Anwar, Nurul Izzah dalam isu kebebasan beragama. Ahli Parlimen Bachok ini juga bersedia berdepan dengan Pengerusi DAP, Karpal Singh di mahkamah semata-mata mempertahankan apa yang diperjuangkan oleh Pas.

Senario kelima: Nik Abdul Aziz tetap tidak mahu mengadakan sebarang musyawarah dengan UMNO atas alasan UMNO memperjuangkan dasar kebangsaan dan Pas memperjuangkan dasar Islam. Tetapi dalam masa yang sama, Nik Abdul Aziz bermati-matian mempertahankan kerjasama Pas dengan PKR dan DAP yang sudah secara terbuka menolak sebarang perjuangan Islam oleh Pas.

Senario Keenam: Nik Abdul Aziz bersedia hadir ke rumah Karpal Singh untuk diraikan pada majlis hari jadi Menteri Besar Kelantan itu, biar pun Pengerusi DAP tersebut sentiasa konsisten menolak hukum hudud dan penubuhan negara Islam.

Senario Ketujuh: Pas memperlekehkan permohonan maaf Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap sebarang kesilapan yang pernah dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) tetapi sama sekali tidak mendesak Abdul Hadi memohon maaf atau menarik balik amanat beliau yang sudah terbukti memecah-belahkan umat Islam.

Penulis menggariskan tujuh senario ini untuk mengingatkan pembaca bagaimana semakin bercelarunya perjalanan politik Pas sekarang sejak mereka menjalin hubungan dengan PKR dan DAP.
Ketujuh-tujuh senario ini jika difikirkan secara mendalam membuktikan Pas bukan sahaja sebuah parti 'cakap tidak serupa bikin' malahan mengamalkan sikap 'double standard' dan bersedia melakukan apa sahaja demi mengejar kuasa politik bersama-sama kedua-dua parti tersebut.

Isu kalimah Allah dan pemecatan Nasharudin yang kini hangat diperkatakan hanya mendedahkan lagi wajah politik hipokrit Pas sebagai sebuah parti yang kononnya masih mendakwa memperjuangkan Islam.
Ia memandangkan tindak-tanduk Pas jelas menampakkan bahawa parti itu semakin tersasar untuk melayakkan mereka diangkat apatah lagi disanjung sebagai parti Islam. Cuba lihat senario yang pertama, Abdul Hadi bermati-matian mahu diberi peluang 'membela diri' dalam isu Amanat Haji Hadi tetapi bagaimana dengan Nasharudin dan Hasan.

Kedua-dua mereka dipecat tanpa sebab dan tanpa diberi peluang untuk membela diri, 'dosa' mereka bukan kerana mencemarkan imej Pas tetapi dilihat 'melakukan kesalahan' kerana terus mempertahankan apa yang diperjuangkan Pas selama ini. Bagi Pas oleh kerana mereka sudah bertahaluf siyasi dengan PKR dan DAP, maka jangan ada mana-mana pemimpin itu yang hendak memandai-mandai melakukan tindakan yang boleh menjejaskan hubungan berkenaan.

Itulah nasib yang terpaksa diterima oleh Hasan dan Nasharudin, kedua-dua mereka bercakap atas kapasiti pejuang Pas sejati dan tidak mahu menggadaikan prinsip perjuangan parti itu tetapi akhirnya demi cita-cita ke Putrajaya mereka dikorbankan.

Satu sumber dalaman Pas memberitahu penulis, apa yang berlaku ke atas kedua-dua pemimpin berkenaan bukanlah satu kebetulan tetapi sememangnya satu perancangan kerana mereka dilihat boleh menggugat hasrat PKR dan DAP memperkudakan Pas.
''Nasharudin pernah diamanahkan oleh Majlis Syura dan kepimpinan Pas untuk mencari jalan mewujudkan kerjasama dengan UMNO selepas pilihan raya umum 2008, ketika itu beliau berhubung dengan Hasan dalam usaha merealisasikan penubuhan kerajaan perpaduan di Selangor.
''Walaupun usaha itu gagal tetapi sejak itulah Nasharudin dan Hasan tidak disenangi oleh kepimpinan PKR dan DAP, malahan dalam beberapa pertemuan tertutup ada pemimpin kedua-dua parti itu sering mendesak kedua-dua pemimpin tersebut disingkirkan daripada Pas," kata sumber tersebut.
Menurut sumber tersebut, kalaulah tindakan Nasharudin tidak menghadiri mesyuarat majlis syuara dianggap 'satu dosa' sehingga beliau dipecat, bagaimana pula dengan Abdul Hadi yang menandatangani kesepakatan dengan kepimpinan PKR dan DAP bahawa bukan Islam boleh menggunakan kalimah Allah.
''Kenapakah kesepakatan itu tidak dirujuk kepada Majlis Syura dahulu? Walaupun kemudiannya majlis tersebut tidak bersetuju dengan persetujuan yang dibuat oleh Abdul Hadi tetapi perjanjian yang ditandatangani tidak boleh dibatalkan begitu sahaja. Kenapa Abdul Hadi tidak dminta memberi penjelasan?," kata sumber tersebut.
Sebenarnya kata sumber itu, tidak hadir mesyuarat hanyalah alasan, hakikat sebenarnya terdapat dalam kalangan kepimpinan Pas dan PKR tidak senang dengan ketegasan Nasharudin dalam isu berkaitan Islam dan hubungan rapat beliau dengan pemimpin-pemimpin UMNO.
''Sesetengah pemimpin Pas sudah dirasuk dengan politik kebencian terhadap pemimpin UMNO yang dibawa oleh PKR. Oleh itu mana-mana pemimpin Pas yang berbaik dengan pemimpin UMNO akan dilayan seperti musuh dalam selimut bagi Pas," kata sumber itu lagi.

Selain itu turut menjadi persoalan ialah sikap Nik Abdul Aziz yang bersedia diraikan oleh Karpal Singh dalam majlis hari jadi sedangkan semua pemimpin dan ahli Pas tahu betapa tegas serta konsistennya Pengerusi DAP itu dalam menentang pelaksanaan hukum hudud dan penubuhan negara Islam yang bertahun-tahun menjadi modal politik Pas untuk meraih undi.
Timbul persoalan kenapakah Nik Abdul Aziz begitu berlembut dengan pemimpin-pemimpin DAP tetapi dalam masa yang sama begitu keras menentang sebarang usaha menjalin silaturahim dengan pemimpin UMNO.

''Kalau kehadiran Nasharudin bersama Perdana Menteri di Mekah dan Gaza yang terang-terang bertujuan demi kepentingan Islam sejagat dianggap salah oleh pemimpin Pas, apakah tindakan Nik Abdul Aziz untuk terus menjalin hubungan rapat dengan pemimpin pembangkang yang menentang dasar perjuangan asal Pas dianggap bukan satu kesalahan?," kata seorang pemimpin muda Pas kepada penulis.
Satu lagi wajah politik hipokrit Pas ialah terus mempertahankan Abdul Hadi yang bertanggungjawab menghasilkan Amanat Haji Hadi. Berdasarkan pendedahan dan pengakuan bekas-bekas pemimpin serta ahli Pas, jelas sekali amanat itu telah memporak-perandakan umat Islam. Tetapi Pas tidak meminta Abdul Hadi menarik balik amanat berkenaan.

Sebaliknya, apabila dalam Perhimpunan Agung UMNO lalu, Perdana Menteri memohon maaf terhadap sebarang kekhilafan yang dilakukan oleh kerajaan BN, Pas memperlekehkannya termasuk menganggap ia sudah terlambat. Persoalannya apakah ini sikap pemimpin yang kononnya masih memperjuangkan Islam. Kenapa perlu ada sikap 'double standard' dalam soal ini?

Hakikatnya, banyak lagi kesilapan, kesalahan dan perbuatan Pas yang semakin menunjukkan parti itu semakin keliru, celaru dan tidak menentu dalam mencari hala tuju perjuangan politiknya. Mungkin Pas boleh berhujah apa sahaja bagi mempertahankan wajah politik hipokrit mereka namun kebenaran tetap kebenaran dan ia tidak akan mampu ditutupi dengan sandiwara dan kepalsuan.
Sesungguhnya, isu kalimah Allah dan pemecatan Nasharudin sudah menjadi bukti bahawa Pas bukan sahaja semakin tidak layak malahan semakin jauh untuk diberi pengharapan bagi membela nasib orang Melayu dan mendaulatkan Islam, segala-galanya kerana terlalu kemaruk untuk merebut kuasa.

*** *****************************
Sememangnya, benarlah, ada pemimpin-pemimpin PAS yang menjadi pengkhianat kepada agama Islam itu sendiri.

0 comments:

Catat Ulasan