Ahad, 3 Februari 2013

Saya Dizalimi - Nasharudin

   

Bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharudin semalam tampil bersuara dalam isu pemecatannya.


  • Merasakan beliau dizalimi
  • Mahu PAS Pusat menyatakan pendirian sebenar isu kalimah Allah
  • Minta lucut jawatan pemimpin dan ahli PAS yang menyanggah ketetapan Majlis Syura
  • Mungkin ada parasit dalam PAS
  • Kekuatan PAS sudah dicairkan oleh DAP dan PKR

  Pukul 2.47 petang semalam, saya menulis artikel yang bertajuk 'Perbetulkan Keputusan'.  Dan saya menyeru Nasharudin supaya dapat memberi sedikit komen.  Alhamdulillah, semalam juga Abang Nasha kita telah memberi komen dan disiarkan di dalam akhbar Utusan hari ini, di muka surat 9.  Macam saya dah cakap, ini baru orang berani!  Seorang pejuang Islam.

  Awal-awal pagi tadi, selepas menghantar anak-anak ke sekolah, saya singgah sebentar di kedai menjual akhbar.  Macam biasa, ada dua tiga orang yang juga datang untuk membeli akhbar.  Ada seorang lelaki yang memakai kopiah, turut memerhatikan tajuk-tajuk muka depan akhbar.  Apabila beliau melihat tajuk muka depan akhbar Utusan/Mingguan Malaysia. Terus dia cakap macam ni..

" Saya dizalimi - Nasha, kentut! Dah kena pecat, memang  la cakap macam tu!"

  Berderau juga la darah saya, ingat mau juga la berdebat terus dengan dia tang tu juga.  Tapi fikir-fikir balik, biaq pi je laaa...  Kalau dah paku 6 inci tu, dah tak boleh buat apa-apa.. lagi pun, kalau kita perhatikan, tajuk 'Karpal sanggah Hadi' lagi besar tulisannya.  Tak pula diberi komen apa-apa.. Ini lah sikap orang yang hipokrit!  Tapi tak mengapalah, sebab di akhirat besok, akan ada satu golongan yang di mana pemimpinnya akan membawa satu bendera, dan di belakangnya ada pengikut yang ramai, masa tu semua makhluk akan memerhatikan golongan itu dan mengenali mereka dari bendera yang mereka bawa iaitu pengkhianat.  Kalau ada yang mengatakan PAS itu , 'Pecat Ikut Suka', mungkin juga boleh kata, 'Pengkhianat Islam seMalaysia'. Tak percaya?  Kita tengok la nanti, dah Karpal Singh bertegas sangat dalam isu kalimah Allah,  adakah PAS sanggup menganjurkan perhimpunan besar-besaran untuk menentang penggunaan kalimah Allah, sebagaimana PAS sanggup buat untuk Shamsidar.  Kalau PAS tak buat, nampak sangat PAS lebih memuliakan seorang wanita bernama Shamsidar, dari Tuhan yang disembah, iaitu Allah!

  Berikut adalah artikel penuh yang saya ambil dari Mingguan Malaysia, pagi ini.


MUKADIMAH - SEBELUM sidang akhbar di kediamannya di Bandar Bukit Mahkota, Bangi bermula semalam, NASHARUDIN MAT ISA sempat menyatakan kepada wartawan Mingguan Malaysia, BADRUL HAFIZAN MAT ISA, bagaimana tergurisnya hati beliau dengan tohmahan pihak tertentu.
“Ada yang gelar saya munafiklah sebab mesra dengan Perdana Menteri terutama ketika menyertai lawatan ke Gaza baru-baru ini. Macam-macamlah tohmahan dilemparkan. Namun ini tidak sesekali melemahkan saya. Saya tidak akan mengalah," kata beliau.
Sejurus kemudian, beliau dalam nada tenang meluahkan segala isi hatinya dalam sidang akhbar selama 30 minit yang turut dihadiri wartawan-wartawan daripada beberapa akhbar dan stesen televisyen tempatan.
Ia untuk renungan dan penjelasan kedudukan sebenar perkembangan beliau yang dikatakan ‘disisih’ kepimpinan Pas Pusat setelah dipecat sebagai ahli Majlis Syura Ulama 13 Januari lalu.

NASHARUDIN: Saya mengambil kesempatan ini untuk membuat beberapa penjelasan terhadap perkembangan daripada saya terutama yang ditumpukan iaitu kepada keputusan Majlis Syura Ulama seperti yang telah diuar-uarkan di dalam media.
Untuk makluman, sehingga saat ini saya masih belum menerima surat atau makluman secara rasmi daripada Majlis Syura Ulama Pas berkenaan pemecatan jawatan tersebut. Namun, setelah dilihat perdebatan isu ini di dalam media serta saya ikuti kenyataan beberapa ahli majlis termasuk Setiausaha Agung Pas, saya akur dengan keputusan tersebut atas dasar keputusan tersebut telah dibuat.
Cuma, sedikit keadilan yang saya pinta adalah supaya tindakan sama dilakukan kepada siapa sahaja yang menyanggah peraturan-peraturan ataupun ketetapan yang telah dibuat oleh Majlis Syura Ulama khasnya sebagai badan kedua tertinggi di dalam parti selepas muktamar parti.
Ini termasuklah berkenaan isu terkini yang sedang menjadi perdebatan dan menimbulkan polemik serta suasana yang tegang di dalam masyarakat iaitu mengenai isu penggunaan kalimah Allah.
Sebagaimana sedia maklum bahawa mesyuarat Majlis Syura Ulama Pas pada 13 Januari telah membuat ketetapan tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah tersebut. Jadi, saya minta siapa sahaja yang menyanggah keputusan itu diambil tindakan. Bermakna sekiranya individu itu merupakan ahli majlis Syura, sepatutnya dia juga dilucutkan jawatannya. Atau individu itu merupakan Ahli jawatankuasa Pas Pusat, juga boleh dilucutkan jawatannya kerana jelas bercanggah dengan ketetapan yang telah dibuat oleh majlis syura ulama.
Apa yang saya ingin bangkitkan adalah, merujuk kepada kedudukan saya sebagai ahli Pas, sebagaimana yang sedia maklum bahawa Yang Berhormat Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat telah menyebut bahawa "dengan terlucutnya jawatan saya sebagai Ahli Majlis Syura, maka terlucut juga jawatan dan kedudukan saya sebagai ahli Pas". Saya merasakan seperti dizalimi dalam konteks itu di mana kiasan yang dibuat terhadap perkara tersebut dilihat saya agak keterlaluan, dengan mengkiaskan saya seolah telah murtad, dan mengkiaskan saya dengan isu perceraian dan sebagainya. Sedangkan sekali lagi saya masih belum menerima hitam putih kedudukan sebagai ahli Pas.
Cuma ingin saya tegaskan di sini adalah, andaian-andaian yang dibuat khasnya daripada bloggers dan mereka yang di luar sana bahawa saya ini menjadi alat UMNO. Atau telah dibeli oleh UMNO dan sebagainya. Saya ingin sebut secara terbuka di sini bahawa saya tidak pernah dan belum pernah ditawarkan sebarang kedudukan atau jawatan di dalam UMNO sama ada daripada kepimpinan tertinggi nombor satu UMNO sehinggalah ke peringkat manapun.
Saya menyertai rombongan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Gaza baru-baru ini. Juga Perdana Menteri tidak ada langsung menyebut berkenaan meminta saya menyertai UMNO. Sememangnya tidak ada sebarang tawaran dan saya juga sendiri tidak mempunyai niat pada ketika ini untuk meninggalkan Pas mahupun menyertai UMNO, lainlah kalau saya memang betul-betul telah dipecat.
Sehubungan itu dengan penjelasan ini saya harap ia dapat dinilai tentang apa yang sedang berlaku ketika ini dan saya juga berharap Pas untuk mengambil sikap yang tegas bagi mencerahkan suasana dan keadaan.


Boleh Yang Berhormat ulas berkenaan keperluan untuk Pas ambil tindakan serupa terhadap mana-mana ahli yang membuat kenyataan bertentangan dengan Majlis Syura Ulama Pas mengenai isu penggunaan kalimah Allah?

NASHARUDIN: Sepatutnya tindakan diambil ataupun Pas tarik balik kenyataan yang telah diumum bersama pimpinan pakatan pembangkang sebelum ini. Kita boleh lihat berulang kali kepimpinan tertinggi pakatan pembangkang termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merujuk kepada keputusan yang telah dibuat bersama pada 8 Januari. Jelas pendirian yang ditunjukkan oleh Karpal Singh dan Lim Guan Eng itu bercanggah dengan keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Syura Ulama Pas.
Jadi sepatutnya Pas menarik balik keputusan yang telah dibuat bersama dengan pimpinan pakatan pembangkang itu, yang telah dibacakan juga oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada ketika itu kerana jelas sangat bercanggah. Malah masyarakat boleh melihatnya menerusi rakaman di youtube mahupun mana-mana media. Keputusan pemecatan saya hanya dibincang dalam mesyuarat dan masyarakat tidak tahu sama ada dibuat keputusan ataupun tidak, tetapi pendirian bersama sebelum ini jelas bercanggah dengan keputusan Majlis Syura Ulama dan seharusnya ditarik balik.


Adakah Pas dilihat tersepit antara kemahuan ahli akar umbi dan kemahuan rakan dalam pakatan pembangkang dalam isu penggunaan kalimah Allah ini?

NASHARUDIN: Saya mungkin boleh mengiyakan kenyataan tersebut kerana kita lihat mutakhir ini banyak percaturan itu diambil kira keuntungan politik terlebih dahulu daripada dasar dan asas perjuangan parti itu sendiri. Jadi saya lihat keadaan itu timbul kerana terlampau ingin meraih dan memenuhi kehendak dan tuntutan rakan-rakan dalam pakatan pembangkang.
Sedangkan semua sedia maklum Pas ini sebenarnya mempunyai kekuatan, identiti dan jati diri sendiri. Kalau kita lihat ketika sebelum bergabung dengan pakatan pembangkang, kekuatan Pas itu jelas terbukti dan di atas kekuatan itulah Pas berjaya meningkat daripada mula ia ditubuhkan pada 1951 sehinggalah sebelum bergabung dengan pakatan pembangkang iaitu prestasi Pas sentiasa meningkat sehingga berjaya menjadi salah satu pemain utama dalam persada politik utama dalam negara. Namun apabila berlaku pakatan dan khasnya mutakhir ini mungkin kerana percaturan yang melampau untuk menawan Putrajaya, persepsi yang dilihat oleh masyarakat adalah seolah-olah Pas itu cuma mahu melunakkan mungkin beberapa pendirian tegas sebelum ini. Ini menimbulkan persoalan dalam masyarakat Melayu dan ahli Pas itu sendiri, dan saya rasa identiti Pas yang kuat dan jitu itu perlu dikembalikan semula.
Dengan tiadanya Yang Berhormat dalam Ahli Majlis Syura Ulama, bagaimana dengan keadaan kepimpinan Pas hari ini?
NASHARUDIN: Ahli Majlis Syura itu ramai. Ketiadaan saya hanya seorang sahaja, ramai lagi tokoh yang terdapat dalam majlis tersebut yang saya yakin boleh memacu parti untuk maju kehadapan. Cuma kadangkala saya lihat peranan Majlis Syura Ulama itu ada ketikanya diperlekehkan oleh pihak tertentu. Seperti isu kalimah Allah, iaitu kenapa selepas Majlis Syura Ulama Pas membuat keputusan mengenainya, namun sehingga kini tidak ada pendirian jelas daripada kepimpinan pusat Pas mengenainya, kerana bagi saya dan mungkin ramai lagi, isu penggunaan kalimah Allah ini berkaitan akidah dan berkaitan dengan Islam itu sendiri.
Insya-Allah isu ini akan diangkat sebagai memorandum oleh Sekretariat Mendaulatkan Islam Sebagai Agama Persekutuan yang telah ditubuhkan baru-baru ini di Masjid Negara yang turut saya hadiri. Ini bagi meminta Majlis Raja-raja mempunyai pendirian tegas dan jelas di atas penggunaan kalimah Allah ini yang implikasinya kepada agama, dakwah dan umat Islam adalah besar.


Mungkin Yang Berhormat melihat adakah golongan parasit di dalam Pas seperti yang didakwa oleh Datuk Hasan Ali terlibat di sebalik segala isu ini?

NASHARUDIN: Mungkin ada, sebab dilihat semacam ada satu kelonggaran dalam prinsip asas ataupun dasar-dasar utama dalam pergerakan Pas yang cuba dicairkan semata meraikan tuntutan rakan dalam pakatan. Jika ini diteruskan, ini akan mencairkan identiti Pas sebagai parti politik yang menggunakan Islam sebagai nama dan dasar perjuangannya.


Mungkin ada pihak yang tidak mahu Yang Berhormat bertanding dalam pemilihan Pas akan datang?

NASHARUDIN: Syarat untuk bertanding dalam pemilihan Pas ini tidak seperti UMNO. Jika ada satu kawasan yang mencalonkan seseorang itu, dia sudah boleh bertanding. Bagi saya jawatan ini penting dalam konteks politik, tetapi saya akan meneruskan perjuangan sebagai ahli Pas biasa kalau masih jadi ahli lagi. Dan untuk membawa agenda Islam ini serta membawa Islam ke tempat yang sepatutnya, membela rakyat dan menghidupkan semangat negara Islam dan negara berkebajikan yang diperjuangkan Pas.
Bagi saya, kalau ada usaha untuk menyekat saya untuk bertanding dalam apa-apa jawatan dalam parti, itu bukan hak individu untuk menyekat saya. Tetapi terpulang kepada ahli dan kawasan sebab dalam Pas ini semangat syura itu bukan sahaja ada pada Majlis Syura Ulama tetapi semangatnya itu juga ada dihidupkan dalam kalangan ahli di peringkat bawahan.


Adakah wajar Pas keluar dari pakatan pembangkang dan bergerak sendirian?

NASHARUDIN: Saya sudah sebutkan tadi. Pas ini ada kekuatan yang tersendiri. Kekuatan itu adalah kekuatan yang telah berjaya bawa Pas maju sejak 1951 sehinggalah Pas itu dikenali ke peringkat dunia, malah isu saya ini juga disebut di dalam beberapa buah akhbar di luar negara. Malah kehadiran Pas dalam persada politik negara ini sedang diperhatikan oleh banyak pihak. Masih ingat ketika saya memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung dan Timbalan Presiden Pas, hampir setiap minggu ada pertemuan Pas dengan wakil-wakil diplomat yang ada di Kuala Lumpur, di mana pertemuan berkenaan menyatakan terus apa yang ingin dibuat oleh Pas. Semacam ada kebimbangan sekiranya Pas sampai ke tampuk pemerintahan kerajaan pusat.
Jadi, itu jelas menunjukkan ada kekuatan di dalam Pas. Tapi saya lihat kekuatan itu sudah sedikit tercair apabila adanya pakatan pembangkang ini. Ini kerana terlalu banyak tuntutan dan kerenah yang perlu dilayani sehingga beberapa perkara yang sepatutnya Pas berada di hadapan tetapi Pas tidak berada di hadapan.


Bagaimana tahaluf Pas dengan DAP?

NASAHARUDIN: Tahaluf apa pun ia akan sentiasa bersyarat. Saya antara yang terlibat pada penubuhan tahaluf bersama dengan pakatan ini. Saya ingat lagi arahan yang dibuat oleh bekas Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Noor yang meminta saya mengumpulkan 13 orang pemimpin gerakan Islam sedunia selama tiga hari di Lester, United Kingdom. Ia turut disertai oleh 13 orang pemimpin Pas. Pada waktu itu dibincangkan konsep tahaluf ini dari sudut syarak. Dan juga dari sudut realiti politik Malaysia dan akhirnya keputusan dibuat bahawa Pas boleh bertahaluf dengan kumpulan atau parti yang ingin membawa satu perubahan dalam konteks negara kita. Tetapi tahaluf itu ada syarat-syaratnya dan antara syarat-syarat itu adalah hal-hal yang berkaitan dengan prinsip. Pas tidak boleh begitu mudah untuk menjual prinsipnya.
Alhamdulillah, prinsip-prinsip itu kekal dalam konteks Pas. Tetapi kadangkala Pas juga diasak oleh tuntutan-tuntutan politik semasa yang sepatutnya perkara itu diperjuangkan oleh Pas. Seperti isu penggunaan kalimah Allah ini, pendirian Majlis Syura Ulama, bagi saya adalah pendirian yang cukup tepat. Walaupun saya bukan ahlinya tetapi saya dukung sepenuhnya pendirian tersebut. Ini yang dinantikan oleh umat Islam walaupun status Majlis Syura Ulama tidak sama dengan Majlis Fatwa Kebangsaan tetapi dilihat orang seperti fatwa.


Bagaimana sambutan ahli Pas terutama di peringkat akar umbi dengan kenyataan Datuk Nik Aziz dan Datuk Seri Abdul Hadi sebelum itu mengenai penggunaan kalimah Allah?

NASHARUDIN: Ramai yang kecewa dengan pendirian yang dibuat oleh Presiden yang dibaca bersama dengan kehadiran rakan pakatan pembangkang. Itu sebabnya saya kata Pas harus membuat pendirian baru yang bersendirian dalam isu ini.


Yang Berhormat lihat ada perkara tidak kena dengan Nik Aziz dalam isu ini?

NASHARUDIN: Saya tidak faham kenapa kenyataan beliau sedemikian. Malah sebelum ini ada juga kenyataan yang keras beliau terhadap saya. Saya masih menghormati beliau sebagai Mursyidul Am Pas, namun saya lihat seperti ada rasa dendam. Saya tak pasti mengenainya. Saya masuk Pas bukan kerana individu, bukan kerana Nik Aziz, Abdul Hadi dan Allahyarham Fadzil Noor. Tetapi saya masuk Pas kerana saya tahu saya boleh bawa perjuangan ini bersama dengan Pas yang saya lihat dahulunya konsisten dengan prinsip-prinsip yang tertentu.


Yang Berhormat mempunyai perancangan untuk bergerak bersama mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO)?

NASHARUDIN: Ketika ini pun sememangnya saya banyak menjalankan aktiviti bersama NGO. Malah saya merupakan Pengerusi kepada Yayasan Al-Quds Malaysia dan saya juga mempunyai sebuah Yayasan iaitu Yayasan Nashar kini mempunyai pelbagai aktiviti yang sedang dibuat dan dirancangkan. Malah saya juga memegang jawatan di dalam beberapa buah NGO di peringkat antarabangsa. Tidak tepat hanya kerana saya tidak menjadi ahli majlis syura, maka saya tidak boleh memberi sumbangan.


Pandangan Yang Berhormat mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri?

NASHARUDIN: Dalam konteks kepimpinan negara dan sebagai ahli Pas biasa, saya masih mahukan Datuk Seri Abdul Hadi sebagai Perdana Menteri. Pada saya, beliau paling layak untuk jawatan tersebut kerana calon-calon lain mempunyai banyak isu lain yang menimbulkan kontroversi termasuk dari segi isu moral dan pendirian-pendirian tertentu di mana setiap isu tersebut tidak ada pada Abdul Hadi. Jika beliau naik, akan ada pasukan yang bersamanya. Malah dalam Pas juga terdapat ramai yang mempunyai kepakaran dalam semua bidang sama ada pengurusan, kewangan ekonomi dan sebagainya. Sekali lagi bagi saya, calon yang paling layak untuk menerajui negara ini sekiranya pakatan pembangkang sampai ke Putrajaya adalah Datuk Seri Abdul Hadi. Bukannya orang lain.


Mungkin sikap Yang Berhormat yang mesra dengan Datuk Seri Najib Tun Razak antara faktor dipecat?

NASHARUDIN: Saya ambil sikap dalam konteks dakwah ini. Kita kena berbaik dengan semua orang sama ada orang Islam, orang bukan Islam atau orang yang sama organisasi atau tidak dengan kita. Apatah lagi dalam konteks masyarakat di Malaysia. Ya, saya berbaik dengan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri serta pemimpin kerajaan lain kerana saya lihat ada ruang yang saya boleh berperanan untuk negara menerusinya. Saya bukan buat kerja untuk UMNO, saya buat untuk negara, untuk agama, serta untuk bangsa. Saya rasa saya boleh menyumbang, malah ada perkara-perkara yang apabila saya cadangkan dan tawarkan, kedua-dua mereka ini sama ada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri menerimanya dengan terbuka. Kalau mereka juga boleh menerima dengan terbuka, kita sebagai rakyat biasa ini perlu mengambil kesempatan itu untuk mencari peluang bagaimana mahu memajukan negara.
Saya pernah dihantar oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, untuk mewakilinya ke Damsyik (Syria) bagi berucap mewakili beliau dalam persidangan speaker negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). Saya bertanya beliau, "Tan Sri saya ini orang Pas, tetapi Tan Sri mahu saya berucap bagi pihak Tan Sri? Tetapi beliau kemudiannya menjawab "tidak, kamu pergi." Dan akhirnya saya berucap bagi pihaknya dan bagi Parlimen Malaysia dalam majlis tersebut. Apabila saya pulang, saya terfikir kenapa kepercayaan itu diberikan. Adakah mungkin kerana beliau tahu saya boleh berperanan di situ. Kembali kepada isu pemecatan saya, sehingga kini masih lagi menunggu surat pemecatan tersebut. Jika sebelum ini mereka boleh memberikan surat pelantikan saya bagi menganggotai Majlis Syura Ulama, sepatutnya surat pemecatan terhadap saya juga perlu ada. Sangat tidak adil kerana saya hanya mengetahui perkara tersebut melalui media ketika baru pulang dari Dubai. Media ini bukan merupakan medium rasmi untuk kita menyampaikan perkara tersebut. Tetapi bagaimanapun ia sudah menjadi isu yang dibincangkan di peringkat nasional. Jadi, saya akur dengan keputusan Majlis Syura Ulama tersebut. Tetapi secara rasminya saya masih tidak menerima sebarang surat mengenainya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130203/re_10/Tuntut-tindakan-lebih-adil#ixzz2JnCnFQ7E
© Utusan Melayu (M) Bhd 

0 comments:

Catat Ulasan