Sabtu, 16 Februari 2013

Ahli Pas perlu sokong Majlis Syura






Kesemua ahli Pas perlu menyokong sepenuhnya keputusan Majlis Syura Ulama parti itu yang berpendirian kalimah Allah tidak boleh digunakan penganut agama lain selain umat Islam.




Walau bagaimanapun, Ahli Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed (gambar) berkata, pihaknya tidak mempunyai kuasa mengarahkan pihak luar mematuhi pendirian majlis itu berhubung perkara tersebut.


"Pendirian terkini Majlis Syura Ulama Pas dalam isu ini adalah jelas dan disokong 100 peratus ahli-ahli Pas.

"Terpulang kepada pimpinan tertinggi pakatan pembangkang mengubah pendirian yang diumumkan sebelum ini atau tidak," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mahfodz yang juga Pesuruhjaya Pas Johor mengulas desakan pelbagai pihak yang meminta Pas menyatakan pendirian sama ada parti itu kekal dengan persetujuan bersama pakatan pembangkang berhubung penggunaan kalimah Allah atau akur dengan ketetapan Majlis Syura Ulama Pas.

Pada 8 Januari lalu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan pendirian pakatan pembangkang yang menyatakan Islam tidak menghalang penganut agama lain menggunakan kalimah Allah dalam amalan mereka walaupun tidak mencapai maksud asal bahasa al-Quran.

Pendirian bersama pakatan pembangkang itu turut dipersetujui Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu.

Walau bagaimanapun, Abdul Hadi, Nik Abdul Aziz dan Mohamad mengubah pendirian masing-masing setelah mesyuarat Majlis Syura Ulama pada 13 Januari lalu memutuskan kalimah Allah adalah khusus untuk agama Islam dan tidak boleh digunakan penganut agama lain.




0 comments:

Catat Ulasan