Isu Kalimah Allah Kerja UMNO, kata Hadi

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini mendakwa isu kalimah ALLAH yang menjadi pertikaian mutakhir ini adalah mainan politik Umno menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).


"Ini kerja Umno. Mengaku Islam... bawa isu kalimah ALLAH musim pilihan raya. Nak pancing undi guna kalimah ALLAH," katanya ketika menyampaikan ucapan di Himpunan Perdana Ummah bersama Pas di sebuah hotel dekat ibu negara, hari ini.


Jelas Hadi, keputusan dibuat Majlis Syura Pas berkaitan dengan penggunaan kalimah ALLAH oleh bukan Islam sudah cukup jelas, namun ia dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu termasuk sesetengah media sehingga ia menimbulkan kebimbangan rakyat.

"ALLAH tak boleh diterjemahkan. Dalam masa sama ALLAH digunakan bukan Islam ditempat dia, itu hak kamu. Salah gunakan, itu tak boleh.

"Ia ada beza dan kita kena faham. Majlis Syura Ulama buat keputusan perkataan ALLAH tidak boleh diterjemah. Perkataan ALLAH tak boleh salah guna. Kalau kamu nak (kalimah) ALLAH dalam bangsa kamu, itu hak kamu. Dipotong-potong kenyataan ini dan dilaga-lagakan," tegas beliau.

Cadangan penggunaan kalimah ALLAH dalam Bible versi bahasa Melayu dibangkitkan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam ucapan sempena sambutan Hari Natal lalu.

Pakatan Rakyat yang berbincang pada 8 Januari memutuskan kalimah ALLAH boleh digunakan oleh bukan Islam asalkan ia tidak disalahgunakan.

Pendirian Hadi yang mewakili Pas dalam mesyuarat itu disambut baik oleh Majlis Pakatan Rakyat.

Namun Majlis Syura Pas yang bermesyuarat pula memutuskan bahawa kalimah ALLAH adalah hak eksklusif untuk orang Islam sahaja dan tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Hadi kemudiannya akur dengan pendirian Majlis Syura Pas itu.

Semalam, Pengerusi DAP, Karpal Singh berkata Pas sepatutnya mempertimbangkan keputusan yang dibuat oleh Pakatan Rakyat mengenai kalimah ALLAH dan bukan oleh Majlis Syura Ulamanya.

Pengerusi DAP, Karpal Singh berkata, PR sudah bersetuju dengan penggunaaan kalimah ALLAH dalam kalangan bukan Islam tetapi hanya Pas yang tidak bersetuju menerusi Majlis Syura.

Hadi bagaimanapun ketika ditanya berhubung perkara itu meminta media merujuk kepada kenyataannya yang dikeluarkan dalam Harakah.
Menerusi semakan yang dibuat di laman web Harakahdaily.net, kenyataan media yang dikeluarkan pemimpin itu hanyalah yang bertarikh 14 Januari lalu dan dirasakan tidak relevan bagi menjawab ketidakpuasan hati Karpal bersabit isu tersebut.

Karpal semalam berkata, DAP kesal dengan kenyataan Pas yang mengesahkan bahawa isu penggunaan kalimah ALLAH dalam kalangan bukan Islam sudah selesai.

"Saya kesal dengan kenyataan itu. Isu ini belum selesai dan DAP tetap dengan pendiriannya.
"Kita masih meminta Majlis Syura Pas untuk mempertimbangkan supaya kalimah ALLAH boleh digunakan oleh orang bukan Islam," katanya.
Karpal juga menafikan ada berbincang mengenai hal itu ketika Nik Aziz berkunjung ke kediamannya minggu lalu.

Sumber : Akhbar Sinar Harian
*****************************************************************
Itu kata Haji Hadi.
   Masalahnya, pertama sekali, siapa yang menggesa kerajaan untuk membenarkan penggunaan kalimah Allah di dalam Bible Bahasa Melayu? UMNO atau DAP?

   Yang kedua, siapa pula yang pada mulanya bersetuju dengan DAP dan PKR dengan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam, tanpa merujuk Majlis Syura terlebih dahulu sehinggakan Karpal Singh masih berani bertegas? UMNO atau PAS?

  Yang ketiganya, Majlis Syura Ulama PAS juga yang sebulat suara membuat keputusan bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan di dalam Bible Bahasa Melayu, sehinggakan Haji Hadi dan Nik Aziz, terpaksa membuat U-turn.

   Namun begitu, bila Karpal Singh dengan berani bertegas, dan menyatakan isu ini belum selesai sebagaimana yang didakwa Haji Hadi, maka kita tidak tahu siapa yang berbohong.  Kerana Haji Hadi tidak pula menyebut, dengan keputusan Majlis Syura itu, maka persetujuan yang terdahulu, terbatal dengan sendirinya.  Dan Haji Hadi perlu bertemu dengan Karpal Singh, serta Anwar dan mengumumkan pembatalan persetujuan tersebut.  Bila tersepit, Haji Hadi mula menyalahkan kerajaan pula.   Apa punya cerita ni ?
   Kita kena fikir pula, adakah keputusan Majlis Syura Ulama PAS itu, yang tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah, adalah kerana desakan kerajaan?  Kalau benar, maknanya Majlis Syura Ulama tiada pendirian tetap!  Jadi, macam yang saya dah cakap, dah makin bercelaru isu ni. 
    Contohnya, jika kita kata, orang bukan Islam boleh guna kalimah Allah, tapi tidak di dalam Bible Bahasa Melayu.  Jadi, bolehkah kita mengambil tindakan undang-undang sekiranya pendakwah Kristian menggunakan kalimah Allah di dalam flyer atau bentuk lain selain dari Bible?  Sedangkan zaman ini, semua maklumat boleh dibuat dalam bentuk sama ada cetakan atau digital.  Jadi, untuk langkah yang mudah dan selamat adalah, dengan mengatakan orang bukan Islam tidak boleh menggunakan kalimah Allah.

   Pada pendapat saya, secara jujurnya dalam isu ini, Guan Eng yang nampak lebih bijak sedikit.  Mengapa tidak? Selepas mengeluarkan gesaan tersebut, hinggalah saat ini, Guan Eng mengambil sikap berdiam diri sahaja, kerana itu lebih baik dari mengeluarkan kenyataan yang boleh memerangkap diri sendiri seperti yang berlaku kepada Haji Hadi.
  Dan yang keduanya, Guan Eng tidak kisah jika boleh guna atau tidak boleh guna kalimah Allah, sebab yang penting bagi beliau, hubungan UMNO dan PAS semakin renggang, dan parti PAS yang memperjuangkan agama Islam juga sudah berpecah belah kerana isu ini.  Yang rugi sebenarnya ialah, kita orang-orang Islam sendiri!
Benarlah satu syair arab yang berbunyi
   " Orang yang bijak itu, akalnya di hati, sedangkan orang yang bodoh pula, akalnya di lidah!"